Wan Tomyam Special Di Ayer Lanas Jeli Kelantan | Dalam artikel kali ini aku akan kongsikan pengalaman aku mencuba tomyam di salah satu kedai yang terletak di Bukit Perawas Ayer Lanas Jeli Kelantan. Kedai yang aku maksudkan adalah Wan Tomyam Special. Mereka menjual banyak makanan termasuklah lima jenis masakan tomyam yang sedap dan menarik untuk dicuba.
Kedai Wan Special mampu memuatkan ramai pelanggan dalam satu satu masa. Macam yang korang tengok dalam gambar, tempat duduk diletakkan juga dibahagian luar kedai supaya dapat menampung lebih ramai pelanggan.
Seperti yang aku maklumkan pada tajuk artikel, Wan Tomyam Special menyediakan lima jenis tomyam yang boleh dicuba oleh pelanggan yang datang iaitu Tomyam Poktek, Tomyam Kung mapraw, Tomyam Nam Kun, Tomyam Nam Sai dan juga Tom Kha Gai. Selain itu korang juga boleh mencuba Phukaw Fai iaitu Sup Gunung Berapi.
Selain tomyam dan sup, korang juga boleh memesan makanan lain seperti Nasi Krapow, Nasi Khai Jeow, Nasi Khao Mok Ayam dan beberapa jenis nasi goreng. Bukan itu sahaja, korang yang tak nak makan nasi boleh cuba beberapa jenis roti canai seperti roti canai kosong, roti canai sarang bulat, roti canai bawang dan banyak lagi. Pancake Krabi pun ada kalau korang nak cuba.
Banyak lagi tau sebenarnya menu dekat Wan Tomyam Special ini. Kalau korang nak tengok menu beserta harga boleh rujuk gambar yang aku kongsikan dekat bawah ini ya.
Senarai Menu Dan Harga Makanan Di Wan Tomyam Special Ayer Lanas Jeli Kelantan
Berikut adalah gambar menu dan juga harga untuk setiap makanan yang ada di Wan Tomyam Special Ayer Lanas Jeli Kelantan. Banyak kan! Pada pendapat aku sendiri harga untuk setiap makanan yang dijual pun sangat murah dan berpatutan. Sekarang ini aku nak kongsikan menu yang aku cuba sewaktu singgah makan di Wan Tomyam Special.
Pengalaman Makan Di Wan Tomyam Special Ayer Lanas Jeli Kelantan
Sewaktu kedai ini berada di lokasi yang lama aku tak pernah singgah tetapi disebabkan ianya sudah berpindah ke tempat yang baru dan lebih dekat dengan tempat aku tinggal aku mengambil peluang yang ada untuk datang dan mencuba sendiri beberapa menu yang ada di Wan Tomyam Special.
Memilih makanan apa untuk dipesan pun mengambil masa yang lama sebab tak tahu nak makan apa. Tomyam jer pun ada lima jenis memang lama la aku fikir haha tapi bila dah ada dekat kedai tomyam mestilah kena order tomyam betul tak?
Jadi, untuk kali pertama aku jejakkan kaki di Wan Tomyam Special aku decided untuk order Tom Yam Kung Mapraw atau dalam bahasa melayunya Tom yam Udang Dalam Kelapa.
Tom Yam Kung Mapraw adalah satu menu yang menarik untuk dicuba. Rasanya sedikit berbeza dengan Tomyam biasa yang selalu kita makan kerana ianya mempunyai rasa manis kelapa muda yang mungkin akan menjadi kesukaan korang dan mungkin juga tidak buat sesetengah orang. Bukan hanya rasa manis kelapa sahaja tetapi isi kelapa juga diletakkan bersama untuk dimakan lauk pauk lain di dalamnya.
Harga pula RM13 sahaja (harga akan bertambah sekiranya korang tambah lauk lain). Tom Yam Kung Mapraw disediakan bersama dengan udang tetapi sekiranya korang nak tambah lauk lain seperti sotong, kepah, ayam atau daging boleh maklumkan kepada mereka. Menurut aku ianya berpatutan tetapi kalau korang rasa mahal boleh order tomyam lain yang lebih murah contohnya Tom Yam Nam Kun Ayam, Tom Yam Nam Sai Ayam, Tom Khai Gai yang berharga RM6 sahaja.
Selain Tom Yam Kung Mapraw, aku juga berpeluang untuk mencuba Tom Yam Poktek yang mengandungi seafood seperti udang, lala, sotong dan ikan yang berharga RM14.
Tak cukup dengan menu tomyam aku juga memesan Phukaw Fai Perut bersama dengan bebola daging tetapi kalau korang nak yang lebih meriah boleh order Phukaw Fai Campur dimana dorang akan letak beberapa jenis lauk. Harga untuk Phukaw Fai Perut adalah RM8 sahaja tetapi tambahan RM2 dikenakan sebab aku tambah bebola daging.
Sekarang ini aku nak share menu yang paling aku suka waktu makan dekat Wan Tomyam Special ini iaitu Daging Bawang Putih. Aku tak pastilah macam mana ianya dimasak tapi rasa dia betul betul sedap. Ditambah pula dengan aroma bawang putih tuh. Bila makan dia rasa macam daging yang dibakar pun ada. Harga yang dikenakan untuk daging bawang putih pula RM7.
Kalau kita tengok secara online ada ramai orang kongsikan resepi daging bawang putih tetapi setiap orang berbeza beza. Jadi, kalau korang nak cuba daging bawang putih macam yang aku makan ini boleh datang ke Wan Tomyam Special. Selain daging bawang putih, korang boleh cuba daging cili, daging kunyit dan lain lain lagi.
Buat korang yang berminat untuk datang mencuba sendiri menu menu menarik di Wan Tomyam Special boleh rujuk informasi yang aku kongsikan dibawah.
Wan Tomyam Special Ayer Lanas Jeli Kelantan
Alamat : NO. 2859 Bukit Perawas, Ayer Lanas, 17700 Jeli, KelantanWaktu Operasi : 2:00 Petang hingga 2:00 Pagi, Setiap HariNombor Telefon : 013-7947527