Salam korang! Untuk artikel kali ini aku nak kongsikan dengan pembaca blog luqman zakaria berkenaan dengan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia atau nama pendeknya PEDi. Mungkin ada diantara korang semua yang masih keliru atau tidak pasti tentang kewujudan PEDi. Apakah tujuan PEDi ditubuhkan dan bagaimanakah ianya berfungsi?
Untuk pengetahuan semua, PEDi sebenarnya sudah wujud beberapa tahun yang lalu dengan nama yang berbeza tetapi ianya diubah kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) untuk penambahbaikan dari segi peranan dan juga manfaat kepada pengguna setempat.
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), PEDi berperanan sebagai pusat sehenti untuk masyarakat/komuniti setempat dimana mereka boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.
Apakah peranan PEDi untuk masyarakat setempat?
- PEDi menyediakan capaian internet yang sangat baik untuk digunakan oleh penduduk setempat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar ianya adalah satu kemudahan yang diperlukan supaya mereka dapat menggunakan internet tanpa sebarang masalah.
- Masyarakat setempat juga boleh mengikuti pelbagai jenis kursus dan latihan berasaskan ICT serta mengambil bahagian dalam program untuk meningkatkan kemahiran mengenai perniagaan e-dagang yang dilaksanakan oleh PEDi.
- PEDi juga berperanan untuk membimbing dan juga melahirkan usahawan mikro yang menggunakan teknologi digital.
Berikut adalah antara peranan PEDi. Apa yang aku nampak disini, fokus PEDi adalah memberi kesedaran tentang dunia IT dan penekanan kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan secara digital melalui e-dagang.
Bagi aku ianya adalah salah satu inisiatif yang bagus untuk membantu masyarakat setempat terutama sekali mereka yang tinggal diluar bandar melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi digital dan seterusnya mampu menjana pendapatan secara atas talian.
Menurut pembacaan aku di laman web SKMM, buat masa sekarang sebanyak 1083 PEDi sedang beroperasi di seluruh negara termasuklah PEDi Bukit Bunga yang berada di negeri kelantan. Tinggal berdekatan dengan PEDi Bukit Bunga memberikan aku peluang untuk berkunjung dan melihat sendiri kemudahan yang disediakan oleh mereka.
Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Bunga, Kelantan
Seperti yang dimaklumkan, PEDi menyediakan capaian internet yang baik untuk kegunaan masyarakat setempat dimana korang boleh membawa gajet sendiri seperti laptop dan gunakan internet yang disediakan secara percuma. Sekiranya tiada gajet sendiri, korang boleh menggunakan komputer yang telah disediakan dengan kadar caj yang sangat berpatutan.
PEDi menggalakkan pengguna mereka untuk mendaftar sebagai ahli dengan kadar bayaran RM5 sekali daftar untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan dengan caj yang lebih murah berbanding mereka yang bukan ahli. Korang boleh rujuk caj penggunaan komputer di PEDi Bukit Bunga Kelantan dibawah.
Selain itu, PEDi juga lengkap dengan peralatan seperti mesin fotokopi, printer, mesin laminate, mesin binding dan lain lain. Korang boleh menggunakan perkhidmatan ini dengan caj bayaran yang telah ditetapkan oleh PEDi Bukit Bunga.
Kewujudan PEDi Bukit Bunga telah membantu dan memudahkan urusan orang ramai terutama sekali masyarakat setempat dengan kemudahan yang disediakan. Setiap hari PEDi Bukit Bunga dikunjungi oleh pengguna untuk memanfaatkan perkhidmatan yang ada disana.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Bunga Kelantan korang boleh layari laman sesawang mereka di
Utama (pjk.com.my). Untuk sebarang pertanyaan korang boleh hubungi mereka di talian berikut.
Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Bunga Kelantan
Alamat : No.1192/A, Tingkat Bawah, Bandar Baru Bukit Bunga Jeli Kelantan 17500 malaysia
Nombor Telefon : 01118985567
Email : bukitbunga@pedi.my
Waktu Operasi : Dibuka Setiap hari Jam 9:00 Pagi hingga 6:00 Petang *Kecuali Cuti Umum