Bas sekolah percuma untuk PPR dan PA di Wilayah Persekutuan

Bas sekolah percuma untuk PPR dan PA di Wilayah Persekutuan | Zaman sekolah dah lama berlalu pergi tapi sampai sekarang aku masih lagi terbayang bayang pengalaman aku menaiki kereta jiran untuk ke sekolah setiap hari. Dulu masa belajar di sekolah rendah aku tak perlukan bas sebab lokasi sekolah hanyalah beberapa meter sahaja dari rumah aku. Tapi bila dah masuk sekolah menengah, kenderaan menjadi satu keperluan sebab sekolah aku tuh jauh. Kalau jalan kaki memang berpeluh jugalah bila sampai. Boleh lemau satu hari dan bila nak mula belajar jer badan jadi lemah.

Aku rasa mak dan ayah perasan yang aku penat semacam jer bila balik dari sekolah tapi dorang tak boleh nak hantar aku ke sekolah setiap pagi maklumlah sibuk dengan kerja. Ayah aku buat macam macam kerja untuk sara hidup kitorang anak beranak. Dari sejak sebelum kahwin lagi, ayah aku pandai jahit baju melayu dan sampai sekarang pon masih lagi mengambil upah kecil kecilan. selain kerja menjahit, ayah aku boleh repair kereta, bertukang dan macam macam lagi. Mak aku pulak surirumah sepenuh masa.

Jadi dorang upah jiran sebelah untuk hantar aku ke sekolah dan jemput aku balik setiap hari bersama dengan beberapa pelajar pelajar yang lain. Upah dibayar secara bulanan, kesian jugalah dekat dorang sebab terpaksa keluarkan duit untuk bayar upah kereta, itu tak termasuk belanja makan disekolah lagi. Kalau ada perkhidmatan bas atau van sekolah percuma macam yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sediakan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kan best!

Perkhidmatan bas sekolah percuma untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA)

Kredit gambar: www.hmetro.com.my
Beruntung jadi warga Wilayah Persekutuan ini sebab ada banyak kemudahan yang disediakan dan salah satunya adalah bantuan bas sekolah percuma untuk PPR dan PA. Kalau korang nak tahu, bantuan bas sekolah percuma ini adalah inisiatif positif dari DBKL untuk membantu pelajar pelajar ke sekolah dengan lebih mudah, selesa dan selamat. 

Kredit gambar: www.google.com
Sebanyak 165 buah bas disediakan untuk 74 PPR dan PA di sekitar ibu kota dan lebih dari 6500 pelajar menggunakan perkhidmatan bas percuma ini untuk ke sekolah. 
Program ini telah dilaksanakan sejak dari 3 Januari 2017 lagi dan kos yang diperuntukkan untuk seorang pelajar adalah sebanyak RM80 dan ia ditanggung sepenuhnya. Pelajar yang berdaftar perlu memakai pakaian seragam sekolah bagi membolehkan mereka menaiki bas sekolah percuma yang disediakan ini.

Aku sangat menyokong program program yang sebegini dan ia seharusnya diteruskan bagi membantu pelajar untuk lebih mudah ke sekolah dan pada masa yang sama dapat mengurangkan beban ibu bapa dari segi kewangan. Aku juga berharap program bantuan bas sekolah percuma ini akan dikembangkan lagi supaya mereka yang berada diluar kawasan juga dapat menikmati kemudahan ini tidak kira dimana sahaja mereka berada.
Terbaru Lebih lama